Jumaat, 24 April 2009

Perkara ajaib yang ada pada manusia

Pernahkah kita terfikir ada suatu keajaiban di dalam diri kita yang kita sendiri tidak mampu mengawalnya? Ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia juga sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasa. Dari sanalah ia menentukan sikap kita sama ada positif atau negatif. Yang peliknya, ia boleh bertukar-tukar rasa. Adakalanya dia rasa senang bila dipuji, rasa menderita apabila dikeji.

Rasa riak dan megah pula timbul bila mendapat kelebihan dan kejayaan. Hairan dengan diri bila mampu buat sesuatu yang orang lain tidak mampu. Tapi tiba-tiba rasa rendah diri dan hina diri bila ada kekurangan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa dan memiliki ilmu lebih dari orang lain. Rasa marah bila dihina orang. Rasa tidak senang bila tengok orang lain dapat lebih. Berdendam pula bila ada orang menganiaya diri. Simpati dan belas kasihan bila melihat orang kesusahan. Rasa keluh kesah bila mendapat kesusahan dan ditimpa penyakit. Rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Rasa gerun bila berdepan dengan sesuatu yang menakutkan. Rasa jijik pula bila berdepan dengan benda-benda kotor. Itulah dia hati atau roh.

Memang sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat. Hati atau rohlah yang akan menanggung azab dan nikmat yang dilakukan oleh jasad lahir semasa hidup di dunia.

Tempat letaknya roh ini ialah di dalam hati jasmani. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Hati manusia boleh menerima perintah dan larangan dan dipanggil rohul amri. Manakala roh haiwan tidak boleh menerima perintah dan larangan dipanggil rohul hayah.

Yang ajaibnya, hati yang boleh beralih-alih rasa itu, ia sebenarnya boleh dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan ini pula akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa baik, baiklah tindakannya dan kalau rasa jahat, maka jahatlah tindakannya. Dengan kebolehan inilah hati seolah-olah raja yang bertakhta di dalam diri manusia. Dialah bakal menentukan baik buruknya manusia. Namun ia ada penasihat iaitu akal. Sementara anggota-anggota lahir sebagai rakyat jelata yang sentiasa menurut perintahnya.

Sepertimana yang berlaku di dalam sesebuah kerajaan, pasti ada sahaja musuh yang suka melihat sesuatu kerajaan itu kucar-kacir. Begitu juga di dalam diri manusia, nafsu dan syaitan merupakan musuh utama roh manusia. Begitulah rupanya struktur kerja yang berlaku di dalam diri manusia yang perlu difahami dan diberi perhatian.

Kerana baik jahatnya seseorang manusia sangat bergantung kepada pengurusan yang ada di dalam diri manusia itu. Siapa yang mengabaikan hati, ertinya dia membiarkan dirinya berjalan di dalam keadaan yang gelap dan meraba-raba hingga menyebabkan banyak benda yang dilanggarnya. Kalau di dunia pun nasibnya belum tentu selamat apalagi kalau di Akhirat nanti.

Sebab itu Allah memerintahkan supaya kita mendidik hati kita supaya sentiasa berlaku taat kepada-Nya sepertimana
maksud firman-Nya:


“Beruntunglah siapa yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.” (As Syams :9)

“Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah dengan membawa hati yang selamat.” (Asy Syuara: 88-89)

Bagaimana sepatutnya hati seorang mukmin itu?

1. Sensitif dengan Tuhan.
Merasa takut dan gerun dengan kekuasaan Allah. Allah boleh berbuat apa sahaja tanpa perlu berunding dengan manusia. Manusia terlalu lemah untuk menolak sebarang takdir Allah.


2. Orang mukmin apabila mendapat kejayaan, nikmat, kemudahan hidup, kelapangan hidup, hatinya terasa syukur kepada Allah.
Dia merasakan semua itu pemberian Allah, bukan hasil usahanya. Kalaupun dia berusaha tapi bila Allah tidak izinkan, pasti dia tidak mampu melakukannya. Sebab itu bagi orang mukmin, kalau keuntungan dan nikmat diperolehi, dia merasa terhutang budi dan malu dengan Allah. Walaupun dirinya masih banyak melakukan dosa dan tidak membuat apa-apa bakti kepada Allah, namun Allah sudi lagi mengurniakan berbagai-bagai nikmat kepadanya.


3. Jika terbuat dosa, sekalipun dosa kecil, apalagi kalau dosa besar, hatinya akan merasa resah gelisah, takut dan hilang ketenangan.
Rasa menyesalnya bukan kepalang. Dia merasa bersalah dengan Tuhan. Bersungguh-sungguh dia meminta ampun kepada Tuhan. Bukan sahaja matanya menangis, hatinya pun turut menangis sama mengenangkan kejahatan yang dilakukan. Yang paling ditakutinya bila dosa tidak terampun, bermaksud tentulah Allah tidak redha kepadanya. Tanpa keredhaan Allah hilanglah bahagia di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.


4. Hati orang mukmin sentiasa rasa di awasi Tuhan.
Allah mendengar, melihat, mengetahui apa sahaja yang dilakukan setiap detik, setiap masa dan ketika. Semua manusia tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Kerana itu, orang mukmin sangat menjaga hukum dan perintah Allah walaupun berhadapan dengan keinginan nafsu yang sedang memuncak.


5. Kalau diuji oleh Tuhan, hati orang mukmin sabar dan redha. Bahkan tenang dengan ujian dan kesusahan hidup.
Dia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan dosa atau peningkatan darjat di sisi Tuhan. Kalau diuji dia tidak pun melatah, marah-marah, keluh kesah, apalagi merungut-rungut dan mengungkit-ungkit. Sekalipun difitnah, ditohmah, dihina, disakiti, atau ditimpa bencana alam, dia sedar kesemuanya merupakan ujian dari Allah dan Allah tidak bermaksud untukmenyusahkan hamba-Nya melainkan ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.


6. Hati orang mukmin sangat merendah diri dengan Tuhan.
Dari setitis air mani yang hina, manusia terlalu lemah dan tiada kuasa apa-apa yang boleh dilakukannya kalau bukan dengan kehendak Allah. Setiap detik manusia memerlukan Tuhan di dalam hidupnya.


7. Sentiasa terkenang nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak yang belum pun sempat di hitung, Allah tambah lagi nikmat-Nya.
Nikmat ilmu, nafas, akal, air, makanan, harta, anak isteri, bumi, langit, haiwan, tumbuhan dan seluruh alam semesta yang tidak pernah kita minta. Allah jadikan kesemuanya itu untuk keperluan manusia. Berapa banyak nikmat yang tidak kita minta dan belum pun kita syukuri telah Allah berikan.


Justeru itu sepatutnya kita malu bila mendesak-desak Tuhan supaya kabulkan permintaan kita yang belum Dia tunaikan. Begitulah Maha Baiknya Tuhan yang setiap detik memberi nikmat tanpa meminta kita membalasnya.

Begitulah beberapa ciri hati orang mukmin yang sepatutnya kita rasakan. Hati yang dapat merasakan perkara-perkara di ataslah hati yang membawa keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan harmoni di dalam masyarakat. Akhirnya dari hati inilah yang akan membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan yang diidam-idamkan. Tetapi kalau di dalam hati penuh dengan sifat hasad dengki, pemarah, tidak boleh berlapang dada, sombong, iri hati, salah menyalahkan orang lain dan berbagai-bagai lagi sifat yang negatif, mustahil akan melahirkan masyarakat yang harmoni.

Oleh itu wahai sahabat sekalian, sebagai muslim, sebaiknya kita menjaga hati kita. Seperti satu ungkapan yang sering kita dengar dari salah satu hadis Rasulullah saw …

“…………………………Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim

Ahad, 19 April 2009

Mengejar erti tawakal..

Salam wrt.


Segala puji bagi Dia yang menguasai hati-hati kita,


Perancangan sesuatu kerja itu sangat penting. Tanpa ada sebarang strategi, boleh jadi kita hanya mengundang kegagalan. Teringat satu phrase ni, "If you fail to plan, you plan to fail. "Fuh, bile 1st time dapat phrase ni memang tercucuk anak panah kat kepala saye...


Macam-macam bende pun kite merancang. Plan cam ne nak buat program, plan nak menang volgo games, plan agenda cuti, plan nak masak ape, plan prepare untuk exam.....dan banyak sangatla.... Kadang-kadang rancangan kite memang tersangat mantap. Kita yakin bahawa kita mampu melaksanakannya. Kita rase kita pasti berjaya. Tapi sahabatku, tak semua planning itu akan tercapai. Barangkali ianya bukan seperti yang kita harapkan. Kerana kita lupa bahawa Allah itu juga merancang buat kita...


Maka itu, jangan lupa bertawakal di setiap apa jua perkara. Tawakal ataupun berserah tanda Allah menguji sejauh mana pergantungan kita kepadaNya... kepada Dia sahaja ye! Didahului dengan doa, kemudian disusuli dengan usaha dan diakhiri dengan bertawakal...


Ingin ku ceritakan sebuah kisah dari kitab Riadus Solihin,


Dari Abdullah bin Abbas r.a. berkata, Sabda Rasulullah s.a.w


"Telah ditunjukkan kepadaku keadaan umat yang dahulu, hingga aku melihat seorang Nabi dengan rombongan yang kecil, dan ada pula Nabi yang mempunyai satu atau dua pengikut, bahkan ada juga Nabi yang tiada pengikutnya.. Kemudian aku melihat satu rombongan yang besar sekali, aku kira itu umatku, maka diberitahukan padaku bahawa itu adalah Nabi Musa dan kaumnya....


Tiba-tiba di ufuk kanan dan kiriku, di sana aku melihat rombongan yang besar sekali, dikatakan kepadaku: Itulah umatmu dan di samping mereka ada 70000 yang masuk syurga tanpa hisab."


Setelah itu Nabi pun bangun dan masuk ke rumahnya. Manakala para sahabat tertanya-tanya sesama sendiri mengenai golongan yang masuk syurga tanpa dihisab itu. Pelbagai pendapat yang diutarakan mereka.


Kemudian Rasulullah s.a.w pun kembali dan bertanya: "Apakah yang sedang kau bicarakan?"


Maka para sahabat pun mengajukan masalah itu,


Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Mereka itu adalah yang tidak pernah menjampi atau dijampikan dan tidak suka menebak nasib dengan pengantaraan burung, dan kepada Tuhan mereka  selalu berserah.


Pabila para sahabat mendengar sabda Rasulullah s.a.w itu, bangunlah Ukkasjah bin Mihshan dan berkata: "Ya Rasulullah doakan semoga Allah memasukkan saya dari golongan mereka."


Jawab baginda. "Engkau termasuk golongan mereka."


Kemudian berdiri pula sahabat yang lain. "Doakan semoga Allah menjadikan saya dari golongan mereka!


Jawab baginda: "Engkau telah didahului oleh Ukkasjah..


(Bukhari dan Muslim)


Bestkan kalau kita masuk syurga tanpa dihisab?! Ayuh kita kejar erti tawakal...


"Sesungguhnya orang2 mukmin adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka berserah.. (Al-anfal:2)"


 

Rabu, 8 April 2009

Doa Seorang Sahabat

Sebuah kapal karam di tengah laut akibat badai dan ombak hebat.

Hanya dua orang lelaki yang dapat menyelamatkan diri dan berenang ke sebuah pulau kecil yang gersang. Dua orang yang terselamat itu tak tahu apa yang harus dilakukan. Namun, mereka berdua yakin bahwa tidak ada yang dapat dilakukan kecuali berdoa.

Untuk mengetahui doa siapakah yang paling dikabulkan, mereka sepakat untuk membahagi pulau kecil itu menjadi dua wilayah. Dan mereka tinggal bersendirian di sisi-sisi pulau tersebut.

Doa pertama mereka panjatkan, mereka memohon agar diturunkan makanan. Esok harinya, lelaki pertama melihat sebuah pohon penuh dengan buah-buahan tumbuh di sisi tempat tinggalnya. Sedangkan di daerah tempat tinggal lelaki yang kedua tetap kosong.

Seminggu kemudian, lelaki yang pertama merasa kesepian dan memutuskan untuk berdoa agar diberikan seorang isteri. Keesokan harinya, ada kapal yang karam dan satu-satunya penumpang yang selamat adalah seorang wanita yang berenang dan terdampar di sebelah tempat lelaki pertama itu tinggal. Sedangkan di sebelah tempat tinggal lelaki ke dua tetap tidak ada apa-apa.

Segera saja, lelaki pertama ini berdoa memohon rumah, pakaian, dan makanan. Keesokan hari,seperti keajaiban, semua yang diminta hadir untuknya. Sedangkan lelaki yang kedua tetap tidak mendapatkan apa pun. Akhirnya, lelaki pertama ini berdoa meminta kapal agar ia dan isterinya dapat meninggalkan pulau itu. Pagi harinya mereka menemukan sebuah kapal tertambat di sisi pantainya. Segera lelaki pertama dan isterinya naik ke atas kapal dan bersiap untuk berlayar meninggalkan pulau itu. Dia memutuskan untuk meninggalkan lelaki kedua tinggal di sisi lain pulau. Menurutnya, memang lelaki kedua itu tidak layak menerima berkah tersebut kerana doa-doanya tak pernah terkabulkan.

Selepas kapal siap berangkat, lelaki pertama mendengar suara dari langit menggema,
"Hai, mengapa engkau meninggalkan rakanmu yang ada di sisi lain pulau ini?"
"Berkahku hanyalah milikku sendiri, kerana hanya doakulah yang dikabulkan," jawab lelaki pertama.
"Doa lelaki temanku itu tak satupun dikabulkan. Maka,ia tak perlu mendapat apa-apa," sambungnya lagi.
"Kau salah! Tahukah kau bahawa rakanmu itu hanya memiliki satu doa. Dan, semua doanya dikabulkan. jikalau tidak, maka kau takkan mendapat apa-apa."suara itu membentak membahana.

"Katakan padaku, doa apa yang dia panjatkan sehingga aku harus merasa berhutang atas semua ini padanya?"tanya lelaki pertama itu.
"Ia berdoa agar semua doamu dikabulkan!"

-----------------------------
Kesombongan membuatkan kita merasa lebih baik dari orang lain. Sedarilah betapa banyak orang yang telah berkorban segala sesuatu demi kejayaan kita. Tidak sepatutnya kita mengabaikan orang lain, dan janganlah menilai seseorang/sesuatu hanya dari "yang terlihat" sahaja.

Sesungguhnya semua perhitungan di tangan-Nya.
bird1

Rabu, 1 April 2009

Bagaimana menghadapi ujian?????

Assalamualaikum……

Kali ini….ingin aku bicarakan tentang kehidupan…kehidupan yang dipenuhi onak dan ranjaunya….tapi sedarkah kita, tanpa gelora yang menghempas badai kehidupan, kita tidak mungkin akan menghargai apa itu makna dan nikmat sebuah kehidupan….Dengan ujian, kita mengenali siapa diri kita, kita mula rapat pada-Nya dan kita juga akan tahu betapa Allah sayang dan kasih pada kita.. Pabila hati merintih pilu, sandarlah hati pada Allah…nescaya Allah akan mendengar segala rintihan hatimu dan hanya Dia yang mampu membantu dirimu..Betapa Allah merindui rintahan hati hambaNya.

Seringkali kita tertanya-tanya pada diri. Kenapa kita harus diuji?

" Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja)mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. "

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Kita juga selalu memohon doa padanya. Meminta sesuatu yang terbaik untuk diri kita. Tapi kadang kala doa dan pengharapan yang diimpikan tidak dikabulkan. Hati yang dikuasai nafsu dan kehampaan akan mula menyalahkan takdir tanpa menyedari bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dari aspek yang lain, kita seharusnya rujuk kembali pada diri. Adakah kita benar-benar menyempurnakan hak kita sebagai hamba pada-Nya.

" ..... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. "

-Surah Al-Baqarah ayat 216

Tatkala ujian menimpa, berat sekali hati menerima. Kita merasakan bagaikan diri tergelincir di lembah yang gelap dan dalam. Bagaikan tidak sanggup untuk memikulnya. Hati akan berbisik hiba, ‘kenapa seberat ini ujian yang menimpa diriku?’ Tidakkah kita fikir bahawa Allah itu Maha Penyayang..Sesekali Dia tidak akan memberati hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung.

" Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

-Surah Al-Baqarah ayat 286

Sesungguhnya Allah itu mengetahui kekuatan dan keteguhan hati hamba-Nya. Yakinlah bahawa kita mampu memikulnya.

Dugaan datang tanpa diduga. Ia sering mengganggu jiwa dan perasaan. Kekecewaan mula menguasai diri bila hati mula resah dan gelisah. Kembalilah kamu pada Pencipta yang Esa. Janganlah kita jatuh dan jauh kerana setiap kesedihan yang menimpa akan pasti membawa sinar kebahagiaan pada hati kelak. Sedangkan kegelapan malam akan bertukar kepada siang. Selepas turunnya hujan, pasti pelangi kan mewarnai langit nan indah. Kebahagiaan tidak kekal selama-lamanya. Begitu juga kesusahan, ianya pasti akan berakhir dengan ketenangan…InsyaAllah..

" Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "

-Surah Al-Imran ayat 139

Bagaimana harus aku memikulnya? Soalan yang sering bermain-main di minda..Aku harus tabah…Itulah nasihat pertama yang terpacul dari bibir dan sanubari seorang hamba Allah… Sesungguhnya, sedarlah bahawa kamu tidak pernah berseorangan dalam segenap ruang dalam mengharungi kepayahan dan keperitan. Berilah harapanmu pada Allah… InsyaAllah, hatimu akan menjadi lebih tenang.

" Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. "

-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu', "

-Surah Al-Baqarah ayat 45

" ..... Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal. Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung. "

-Surah At-Taubah ayat 129

Dunia ini bagaikan jambatan akhirat. Setiap apa yang kita lakukan, pasti ada balasannya di sana nanti. Meskipun ia hanya secebis kesabaran, ianya mampu mengangkat tahap keimanan dalam hati..Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang bersabar. Dan syurga bakal menjadi destinasi bagi mukmin yang bersabar..

" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka ..... "
-Surah At-Taubah ayat 111

" ..... dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. "

Wahai sahabat, janganlah kamu fikir bahawa kesusahan itu akan berpanjangan kerana kelak akan membawa putus asa pada Tuhan…

Wassalam…