Ahad, 9 Januari 2011

Samada Ringan Mahupun Berat




Samada ringan ataupun berat, berangkatlah!

Laksana maranya 'mereka' tika Tabuk menyeru

Samada ringan mahupun berat, berangkatlah!

Sepertimana helaian Taubah arahan Tuhanmu.

Sang Pemuda! Apakah yang engkau terkelirukan

Apakah dengan mainan ini engkau terhibur?

Sang Pemuda! Dengan apakah engkau dipeningkan

Tidak mampukah kau bezakan rumput hijau dan lumpur?

Lucu! Kau mengatakan hidup ini hanya sekali

Berharga tak terkira perlu diguna sebaiknya

Lalu saudara, engkau berbuat setelunjuk hati

Seolah engkau selamanya tidak bakal ditanya.

Samada ringan ataupun berat, berangkatlah!

Laksana maranya 'mereka' tika Tabuk menyeru

Samada ringan mahupun berat, berangkatlah!

Sepertimana helaian Taubah arahan Tuhanmu.

Abang, terlupakah kau akan 'nenek moyang' kita?

Ya! Abu Bakar, Toriq Ibn Ziyad dan sultan Al-Fatih dan mereka yang sehala

Kakak, mungkin perlu kau kuingatkan semula

Tegas berani Ummu Sulaym namun tak kurang penyayang dan perikewanitaannya.

Mereka itu manusia merdeka, berjaya lagi mulia

..di sisi Tuhan, merentasi tempoh dan tempat yang fana

Mustahil kau kata? Haha! Kuulangi lagi mereka manusia

Ya mereka manusia yang mengenali dan menyahut seruan Tuhan manusia

Bagaimana pula engkau wahai saudara?

Aku yakin engkau bukan segalanya melainkan seorang manusia

Bagaimana pula engkau wahai saudara?

Ataukah engkau tidak kurang seperti yang merangkak di luar sana?

Samada ringan ataupun berat, berangkatlah!

Laksana maranya mereka tika Tabuk menyeru

Samada ringan mahupun berat, berangkatlah!

Sepertimana helaian Taubah arahan Tuhanmu

Pemuda, aku teringat sebuah perniagaan

Pelik kukira kerana modalnya Si Pembeli yang memberikan

Namun Si Pembeli tetap berkenan

Dan Jannatul Uulaa sebagai pulangan

Kawan, luruskan penilaianmu!

Lupakah engkau kita ini berpandu

Jalan di hadapan, langkahlah jangan kau kaku!

Buktikan keberanian dan kebijaksanaanmu.

Saudara, mari ikuti aku

Bukan kerana aku sempurna lagi terjamin penghujungnya

Tetapi kerana aku ingin memijak jejak nabimu

Ketika baginda berkata kepada isterinya..

....'waktu tidur telah berlalu'..

..Dan orang-orang yang berjihad mencari keredhaan Kami, pasti akan tunjukkan  kepada mereka jalan-jalan Kami..

~Nukilan Azli bin Nasiruddin