Ahad, 14 November 2010

Juallah duniamu!


Bismillahirrahmanirrahim....

Salam wrt kepada pembaca-pembaca blog kami.. semoga entry kali ini menemui saudara-saudari dalam penuh keredhaan dan kesyukuran kepada Allah SWT.

Pengorbanan, sacrifice... menanam seribu makna bagi setiap orang. Mungkin dari seorang sahabat yang sanggup memasak untuk sahabatnya yang sedang lapar, mungkin dari seorang ibu yang terpaksa mengorbankan tenaga, harta dan jiwanya untuk mendidik anak-anaknya menjadi insan-insan yang mampu mengislah/memperbaiki ummah, mungkin dari seorang isteri yang sanggup berpisah dengan suaminya demi merelakannya untuk berjihad di jalan Allah.

Pernah dengarkah kamu tentang kisah Suhayla dan Farooq?

Kisah 2 insan yang bercinta dan berkorban demi Allah di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Setelah 3 bulan mereka diijabkabul, Farooq dipanggil untuk berjihad. Untuk seketika, Farooq melihat ke belakang kepada isteri yang disayanginya dan langkahnya terhenti tetapi Suhayla menolaknya,"Tidakkah kamu takut kepada Allah?! Kejarlah jannah dan aku kan berjumpa denganmu di sana!"

Subhanallah. Betapa hebatnya cinta dan pengorbanan mereka. Cinta yang terbukti dengan pengorbanan.

Mungkin kita masih jauh untuk berkorban seperti itu tetapi bukalah hati dan lihatlah di sebalik kisah ini... pengorbanan bukanlah senang, bukan seperti memetik bunga di taman. Tetapi memerlukan seluruh hati, jiwa dan raga.. yang akan meluluhkan hati kita, yang akan melelahkan langkah kita, yang akan merobek setiap inci kehidupan kita dan menyebabkan kita terpaksa melepaskan sesuatu yang kita amat sayangi dan sukai. Tapi bukankah Allah Yang Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya telah menjanjikan segala apa yang kita beri demiNya, akan Dia ganti dengan sesuatu yang tak dapat kita gambarkan keindahannya, sesuatu yang akan kekal selama-lamanya.

Syurga! Jannatullah!

Abdullah ibnu Mubarak mengatakan,"Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat..."

Pengorbanan yang kita niatkan kerana Allah, walau sekecil-kecil amalan seperti membuang duri dari jalanan... semuanya pasti akan Allah balas. Allah pasti akan melihat dan mengetahui bahawa hambaNya telah berkorban sesuatu demiNya. Dan balasannya tentu tidak akan menghampakan kita!

Maka juallah dunia dan kehidupan kita, untuk mengejar akhirat sana!

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."

At-Taubah, 9:111


ps. lanjutan kisah mengenai suhayla dan farooq di sini =)

Allahu'alam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan