Selasa, 10 November 2009

Kasih Sayang Allah Kepada HambaNya

Kasih Sayang Allah Kepada HambaNya


Seandainya manusia ingin menghitung nikmat-nikmat pemberian Allah swt, maka mereka tidak akan mampu menghitungnya. Sekalipun air laut dijadikan tinta, seluruh ranting kayu dijadikan pena dan dedaun pokok yang ada di muka bumi ini dijadikan kertasnya, maka ia tidak akan pernah selesai. Betapa besar dan banyak nikmat yang Allah swt kurniakan disekeliling kita.



Tetapi kita sering lupa dan lalai untuk bersyukur kepada yang Maha Memberi. Malah kita membalas dengan menggunakan nikmat-nikmat itu untuk melakukan maksiat kepadaNya.

Ketika kita melangkah kaki keluar, menghayunkan tangan, menghirup udara yang segar dan menikmati cahaya matahari yang terang dan bersinar, pernahkah kita terfikir dari mana datangnya semua nikmat-nikmat ini?

Sekiranya Allah swt mengarahkan semua kemudahan dan nikmat yang diberiNya kepada kita harus di bayar menggunakan wang, berapa banyak yang harus kita keluarkan untuk membayar semua itu?

Tepuk dada tanya iman.

http://farm3.static.flickr.com/2620/3829320730_800723a9a2.jpg


 




Kita sering lupa dan melupakan apa yang kita miliki. Sebaliknya selalu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan apa yang kita belum miliki. Mungkin kita harus bertanya soalan ini kepada diri sendiri:


"Mahukah aku kalau ada orang mahu membeli sepasang mataku dengan jutaan ringgit?".

"Mahukah aku tukarkan kedua-dua belah tangan ku ini dengan emas yang bertan-tan?"

Dan bahagian-bahagian tubuh kita yang lain. Hati, buah pinggang, jantung, dan lain-lain?

Siapakah yang mahu menukar hidupnya dengan seluruh harta benda duniawi?

Ingatlah, hidup ini sendiri adalah nikmat dari Allah swt.

Firman Allah yang bermaksud; "Maka nikmat Allah yang mana lagi yang kamu dustakan?" (surah ar-Rahman, ayat ke-13)

InsyaAllah, semoga kita sama-sama dapat renungkan. Mari kita terus bersyukur dengan nikmat  kurniaan Allah dan terus sabar mengahadapi ujianNya.

BERIBADAT TANDA SYUKUR KEPADA ALLAH


KETIKA Rasulullah s.a.w mengembala kambing, tidak jauh darinya ada sekumpulan remaja sedang lepak, berborak dan ketawa.



Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah:“Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana tu?”

Rasulullah dengan tegas menjawab: “Saya diciptakan bukan untuk itu.”

Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan, malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.

Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak malu lagi dengan azan yang berkumandang. Sudahlah dengar azan, padang bola pula bersebelahan dengan masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing, lembu pun sudah balik ke kandang tapi sesetengah kita kadangkala masih asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu bekerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan di dalam jadual.

Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat? Sibuk. Kalau sempat buatlah, kalau tidak sempat qada saja.

Dalam ruangan kali ini, saya hendak mengajak adik remaja memahami kenapa dan alasan kenapa kita mesti beribadat.

Di sana ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk pun kita.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah dalam al-Quran (Qs 51:56) yang bermaksud: “Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepadaku.”

Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadat lebih utama lagi.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Bil elektrik hujung bulan, bil telefon dan jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah (QS 7;172) mengingatkan kita maksudnya: “... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul.”

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan thaghut (kejahatan). Jika Nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apa lagi kita.

Firman Allah (QS 16: 36) bermaksud: “...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah thaghut.”

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut Nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah (QS 6:15) maksudnya: “Sesungguhnya aku amat takut kepada azab hari kiamat jika menderhakai Tuhan.”

 


http://i46.photobucket.com/albums/f133/firdausluct1/iluvislam/Kartun_003.jpg


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan