Selasa, 5 April 2011

Kisah Bakawali =] Panji Seorang Muslimah



Panji seorang muslimah...

Apakah itu panji?
Kalau dalam peperangan dahulu kala, setiap pasukan akan mempunyai panjinya tersendiri. Panji melambangkan maruah dan kekuatan. Sebab itulah, dalam peperangan, panji akan dijaga lebih dari nyawa sendiri. Jatuhnya panji tanda kekalahan, tertegaknya panji tanda kekuatan.

Cerita bermula.....

Dalam satu kuliah, Dr Ahmad Thowalbeh, seorang pensyarah membawa bendera Jordan. Dia mengibar bendera di hadapan kelas. Kemudian dia berkata, apakah ini?
Ramai yang menjawab, “ Bendera!”
Dia menggeleng. Dia berkata dengan lembut. “ Ini adalah izzah”
Izzah dalam kata lain adalah kebanggaan. Semua tertanya-tanya, kenapakah dia berkata bendera itu sebagai izzah? Dr Ahmad Thowalbeh kata, bendera ni melambangkan ciri-ciri sebuah negara itu. Setiap negara ada corak tersendiri dalam bendera mereka, kerana mereka mempunyai sesuatu yang hendak diterjemahkan melalui corak di bendera itu, mengenai negara mereka. Jadi bendera juga merupakan satu tanda kehormatan, dan maruah kepada sesebuah negara.
Kalau kita lihat, negara kita Malaysia pun amat sensitif dengan hal bendera. Kalau ada apa-apa perkara buruk terjadi, atau dilakukan dengan bendera Malaysia, kerajaan akan terus bertindak, kerana tindakan itu dianggap mencalarkan maruah negara. Lihat, pada bendera terletak maruah.
Kemudian Dr Ahmad Thowalbeh mengangkat sebidang kain yang dibawa olehnya bersama bendera tadi.
“ Ini bendera seorang muslimah” Dia mengangkat kain itu.
Saya pada awalnya tidak faham. Saya juga rasa, semua orang di dalam kelas tidak faham. Tetapi Dr Ahmad Thowalbeh tidak meninggalkan kami dalam kekeliruan begitu sahaja, dia terus memberitahu.
“ Hijab, adalah panji kepada muslimah. Bila muslimah menanggalkan hijab, maka mereka sebenarnya telah menanggalkan maruah mereka. Wahai anak-anak perempuanku, ini adalah bendera kamu.”
Ketika kata-kata itu meluncur keluar dari mulut dia, saya rasa hati saya seperti disentuh sesuatu. Kata-kata itu berbekas di dalam hati.
Ya... Baru saya nampak. Hijab itu adalah bendera seorang muslimah. Muslimah yang menanggalkan hijabnya di hadapan bukan mahram hanya seakan-akan merendahkan maruahnya sendiri. Saya sering mendengar perumpamaan yang diberikan orang, mengenai buah atau baju berbalut plastik, dengan yang tak berbalut plastik, mana pilihan kita. Ya, pada hijab, terletak ketinggian seorang wanita, cuma tak ramai menyedarinya.
Saya secara jujurnya, bila keluar dari sekolah saya dan terdedah kepada masyarakat umum, mata saya jadi sakit. Kerana ramai sahaja wanita-wanita yang tidak menjaga aurat mereka. Saya tidak pernah nampak kecantikan dalam wanita-wanita ini. Yang saya nampak hanyalah kekurangan. Kekurangan apa, saya rasa itu perlu dijawab sendiri oleh muslimah yang menanggalkan hijabnya di hadapan ramai.
Memakai hijab ini, menunjukkan kesederhanaan sebenarnya. Dalamnya tersembunyi dengan kemahalan akhlak. Mata pun rasa sejuk kalau terpandang mereka. Malah, mereka nampak cantik secara natural, tanpa perhiasan yang berlebihan. Hati tertarik dengan mereka secara sendiri.


Perempuan yang menjaga pemakaian hijabnya, sudah semakin asing di dalam masyarakat kita. Tetapi yang asing itulah yang akan bergembira nanti.

Rasulullah SAW bersabda,
ISLAM itu bermula dengan dagang, nanti ia akan kembali dagang seperti mana ia datang, maka bergembiralah mereka yang dagang(ketika ISLAM itu dagang)”

Hijab adalah tanda kepatuhan muslimah itu kepada ALLAH. Sebab itulah, kita sebagai muslim muslimah, tidak pula boleh merendahkan taraf hijab kepada pengabdian fesyenisma. Hari ini, hijab dijadikan fesyen, sehingga sebab musabab pemakaiannya juga dilupai. Sebahagian manusia pula mentakrif bahawa arahan memakai tudung tiada di dalam ISLAM. Saya ketawa.

ALLAH SWT berfirman,
"Katakanlah kepada wanita yang beriman hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung di dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra putra suami mereka atau saudara-saudara laki-laki mereka atau putra-putra saudara perempuan mereka..." (QS. an-Nur: 31)



Wahai muslimah, adakah kamu menjaga panji kamu dari dijatuhkan musuh? Sesungguhnya pada hijabmu itu adanya maruah dan kehormatan seorang muslimah...

 shared by: Liyana Kamarul Bahrin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan