Selasa, 10 Mei 2011

Tazkirah Mingguan -Tasfir Surah al-Rum 17-22

 Laporan Tazkirah Mingguan
Tarikh:  7 Mei 2011 ( Sabtu )
Masa  : 9 - 9.45 malam
Pengacara Majlis :  Mukhlis ( 3th year)
Pentazkirah:  Azli Nasiruddin

Tafsir Surah Ar-Rum Ayat 17-22
17. Maka bertasbihlah kepada Allah pada petang hari dan pada pagi hari (Subuh)
18. dan segala puji bagi-Nya baik di langit, di bumi, pada malam hari dan pada waktu zuhur (tengah hari)
Allah mengingatkan manusia untuk sentiasa bertasbih kepadaNya kerana dengan bertasbih manusia akan sentiasa ingat kepadaNya. Dengan mengingatiNya, manusia tidak akan cenderung melakukan perkara-perkara yang dilarangNya kerana mereka sedar bahawa wujudnya satu kuasa yang sentiasa mengawasi tindak-tanduk mereka.
19. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari hidup dan menghidupkan bumi setelah mati (kering). Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).
Allah s.w.t menekankan kuasanya untuk mencipta dan mematikan apa yang ada di muka bumi ini. Sebagaimana bumi yang kering kontang mampu hidup subur kembali, begitu jugalah dengan nyawa manusia. Dialah Maha Pencipta, Dialah juga yang mematikan apa yang dikehendakiNya.
Berdasarkan ayat-ayat ini,Allah ingin menerangkan kepada manusia tentang kehebatan penciptaanNya yang tiada tandingannya. Seperti yang kita sentiasa ungkapkan di dalam asma’ ul-husna kita mengetahui dan yakin bahawa Allah adalah Maha Pencipta iaitu sebaik-baik pencipta.
20. Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang-biak.
Melalui ayat 20, Allah mendorong manusia untuk berfikir dan menyedari hakikat sebenar penciptaan manusia yang asalnya hanya daripada tanah. Seperti yang kita ketahui bahawa struktur tanah itu sendiri halus dan boleh diibaratkan sebagai debu. Tanah itu juga sentiasa dipijak-pijak oleh manusia menunjukkan betapa hinanya asal penciptaan kita. Namun Allah mampu untuk menukarkan tanah yang hina itu kepada manusia yang sangat indah rupanya malahan bijak pandai serta diangkat menjadi khalifah di atas muka bumi. Subhanallah.
21. Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.
Melalui ayat 21, Allah menerangkan lagi kehebatan-kehebatan ciptaanNya iaitu perasaan cinta dan kasih sayang yang terbit dari hati setiap insan di atas muka bumi ini. Perasaan cinta dan sayang ini tidak perlu diajar oleh ibu bapa di rumah atau guru-guru di sekolah kerana ia adalah anugerah dari Allah yang telah disemat di dalam hati manusia. Namun, sejauh manakah kita menghargai nikmat yang dikurniakannya? Adakah kita menggunakan nikmat cinta dan kasih sayang Allah yang suci ini ke arah jalan yang diredhaiNya? Fikir-fikirlah sendiri. Tepuk dada tanya  iman.
22. Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, ialah Dia menciptakan langit dan bumi, perbedaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.
Melalui ayat 22, Allah mengagungkan penciptaan langit dan bumi. Di dalam al-Quran, Allah banyak bersumpah ke atas langit dan bumi kerana penciptaanNya yang sangat hebat. Boleh rujuk surah al-Mulk ayat 3-5. Di dalam ayat ini juga Allah menerangkan tentang penciptaan manusia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan warna kulit. Betapa indahnya Islam kerana  tanpa mengira bangsa atau warna kulit kita adalah bersaudara atas dasar kepercayaan kepada Allah yang satu. Bayangkan sekiranya di dunia ini hanya terdapat satu kaum sahaja. Mesti hidup kita tidak menarik dan pemikiran manusia akan tertutup. Ini juga salah satu nikmat Allah yang harus kita sentiasa mensyukuri.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan